Tabung

My Friends

Wednesday, August 4, 2010

Perkahwinan Remaja 16 Tahun ke Bawah Dibenarkan Kerajaan Melaka..??

MELAKA 3 Ogos - Selepas mencadangkan penubuhan sekolah khas bagi pelajar mengandung, kerajaan negeri 'menggalakkan' pula ibu bapa memberi kebenaran kepada anak- anak mereka berkahwin walaupun masih bersekolah bagi mengekang gejala hamil luar nikah.
Bagi tujuan tersebut, Majlis Agama Islam Melaka (MAIM) dan Jabatan Agama Islam Melaka (JAIM) bersetuju memberi kelonggaran bernikah kepada pelajar lelaki bawah umur 18 tahun dan bawah 16 tahun bagi pelajar perempuan.
Ketua Menteri, Datuk Seri Mohd. Ali Rustam berkata, prosedur permohonan bernikah bagi pelajar terbabit masih dikekalkan iaitu perlu dibuat melalui Mahkamah Syariah tetapi kelonggaran diberi untuk memudahkan mereka bernikah jika mendapat persetujuan ibu bapa masing-masing.
Menurutnya, keputusan itu diambil dan telah dipersetujui oleh semua pihak pada persidangan menangani gejala sosial yang diadakan baru-baru ini.
"Bagi kerajaan negeri, ini adalah langkah terbaik menangani gejala buang bayi dan kes hamil serta melahirkan anak luar nikah. Adalah lebih baik ibu bapa memberi kebenaran kepada anak mereka yang hendak sangat berkahwin daripada mereka melakukan zina.
"Bagi saya mengubat adalah lebih susah berbanding mencegah. Cara ini saya anggap lebih praktikal, jika tidak gejala buang bayi dan mengandung anak luar nikah tidak akan dapat dibendung," ujarnya.
Beliau ditemui selepas merasmikan Seminar Penghayatan Ramadan serta majlis pentauliahan amil zakat fitrah dan pelancaran Buku Masjid Negeri Melaka di Auditorium Masjid Al-Azim di sini hari ini.
Bagi pelajar yang hamil pula, Mohd. Ali berkata, kebenaran bernikah akan diberi namun denda perlu diselesaikan menerusi Mahkamah Syariah.
Mengulas lanjut, Mohd. Ali yang juga Pengerusi MAIM berkata, keputusan itu diambil dengan mengambil kira 391 kes hamil dan melahirkan anak luar nikah di negeri ini tahun lepas.
Menurutnya, sepanjang tempoh enam bulan tahun ini pula, 174 kes berkenaan telah dilaporkan.
"Kes tersebut kebanyakannya melibatkan pelajar sekolah di bawah umur 20 tahun dan jika tidak ditangani akan berterusan," ujarnya.
Beliau menegaskan, perkahwinan pada usia muda bukan sesuatu yang pelik kerana pada zaman dahulu, ibu bapa berkahwin pada umur 13 hingga 18 tahun.
"Kalau ada pelajar tidak boleh tahan (untuk bernikah), tolong jangan berzina, minta kebenaran jumpa mufti, kita akan benarkan," ujarnya.
Menurutnya, kerajaan negeri menyediakan bantuan kewangan RM500 kepada ibu bapa daripada keluarga miskin bagi urusan pernikahan anak mereka.
Katanya, jika pelajar terbabit bersalin dan tidak mempunyai orang untuk menjaga bayinya kerana bersekolah, kerajaan negeri akan memikirkan cara untuk membantu mereka.


** Petikan dari Utusan Malaysia hari ini (04 Ogos 2010)

No comments: